Saturday, March 29, 2008

.::Nantikan Aku Di Pintu Syurga::.

Keheningan malam menyikap tirai 12 Rabiulawal kala titisan hujan renyai sayup membasahi alam. Kedinginan dan olakan angin menyisip ketenangan dalam kesyukuran menyambut Maulidur Rasul. Aku menguntai manik-manik tasbih dengan alunan zikirullah yang mengisi ruang dada, ralit berteleku di atas sejadah mengisi hamparan pengabdian pada Al-Khaliq.
Safiah, kerja kursus yang kamu hantar terlalu ringkas. Cikgu tak nampak penjelasan terperinci tentang Tunku Abdul Rahman ni?”tegur Cikgu Fatimah tika mengulas perihal tugasan aku. Biasalah kerja projek mata pelajaran Sejarah baru-baru ini agak melemaskan aku. Ahh..bosannya melengkapkan teks ini! Monolog aku dalam hati. Aku berjalan menuju koridor bangunan sambil melayarkan pandangan kearah pepohon kemboja disebalik kehijauan padang sekolah. Sambil itu, desis hati sesekali mengimbas kiasan kata-kata Ustazah Aisyah tempoh hari, “Rasulullah s.a.w tidak suka pada sesuatu kerja yang dijalankan umpama melepaskan batuk ditangga..”


Aku teralit dalam perasaan memuncak hiba. Oh, di mana silapnya? Lantas teringat leteran Cikgu Fatimah yang sedikit sebanyak terlempiasnya pada hasil kerjaku tadi. Sedetik itu, kekesalan timbul…


” Barangsiapa dari umatku yang membaca selawat keatasku satu kali, Allah menetapkan untuknya sepuluh kebaikan, menghapuskan daripadanya sepuluh keburukan dan mengangkat untuknya sepuluh darjat”


Andainya baginda masih ada dalam dunia akhir zaman ini, tentu sedikit sebanyak Baginda berbangga dengan generasi mahasiswa-mahasiswi intelektual saat ini. Insan-insan yang digelar ‘ummatahu’ yang bererti ‘umatnya’. Sungguh ingin sekali aku menyatakan hasrat di hati untuk bertemumu, ya Rasulullah. Akan ku ceritakan padamu seribu satu kisah perjalanan remajaku dan pasti senyuman menghiasi rona wajahmu kerana aku amat rindu pada senyuman yang seringkali menjadi penyejuk hati para sahabat. Dia yang bernama Muhammad.


“Bagus Safiah, saya suka dengan hasil tesis awak!” puji Professor Azizan sambil menuntas pandangan pada skrin komputer seketika.

Aku hanya tersenyum dengan kepuasan. Tidak sia-sia kunjunganku ke Amsterdam untuk mengkaji teknologi pertanian di sana.

“Dan seperkara lagi..”

Aku menoleh sambil mengangkat kening tanda kurang mengerti.

“Tahniah, atas kecemerlangan pointer awak baru-baru ini..” Hanya Tuhan mengerti betapa aku gembira selama ini merangkul beberapa anugerah tertinggi akademik. Namun segalanya terasa kerdil andai tidak berpayungkan pada redha Illahi.


Pastinya, aku merasakan dia sentiasa menemani dalam nadi perjuangan ini biarpun di mata jasad itu telah lama kembali kehadrat Kekasih yang satu. Dalam erti kata lain, aku merindui untuk bertemu dia. Walau diri ini banyak dipagari noda-noda sebagai insan biasa yang tidak sebanding untuk berdampingan denganmu..Ya Rasulullah di akhirat kelak, aku selalu berdoa untuk menatap wajahmu.. Keagungan kasih dan ketulusan budinya yang mengamit hatiku dan sekalian umat-umatnya.


Seorang pemuda datang pada Rasulullah dengan wajah murung.


“Aku amat cinta padamu, Ya Rasulullah. Namun aku khuatir tidak dapat bersamamu di akhirat kelak..”


Rasulullah tersenyum penuh ketenangan dan berkata, “Di akhirat nanti, engkau akan bersama orang yang engkau cintai.” Lalu pemuda itu beredar dengan senyuman.


Buktikan andai benar-benar cinta? Andainya aku mengorbankan riwayatku untuk Islam, belum tentu mampu membayar cintanya. Hinggakan sahabat-sahabat Baginda mencemburui kasih yang dipamerkan oleh Rasulullah buat umat-umatnya biarpun dimata..tidak pernah bersua. Aku bersyukur atas nama Allah, Ya Rahman…yang mengurniakan insan seistimewa Muhammad Al-Amin buat hamba-hambaNya yang dahagakan sinar Az-Zahrah, bagi mencari jalan ke Jannah..


“Sesungguhnya, aku tinggalkan pada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku..”


“Hai termenung jauh nampak, ingat boyfriend ke?”

Aku menoleh pada Haryati. ‘Erm, memandai aje dia ni’ Malam itu, kami meluangkan masa sekitar KLCC memadangkan Haryati beria mengajakku keluar untuk membeli barang.

“Ha..dah habis shopping ke? Kalau dah, jom kita balik..” Aku tersenyum melihat rona wajah Haryati kelihatan sedikit frust tidak dapat berlama-lama di pusat membeli-belah itu. Mana tidaknya, tugasan assignment di kampus berlambak-lambak masih belum dibereskan. Bukannya masa itu boleh dianjakkan!

Tatkala berlalu menghampiri kawasan meletak kereta, aku terpandang ‘adegan asmara’ pasangan kekasih yang sedang berdua-duaan dicelahan pohon yang berdekatan. Aku tergamam. Sesaat itu, aku lantas mengalih pandangan kerana tidak selesa memerhati perlakuan seumpama itu. Naluri remaja tidak lepas dari mengajarku erti godaan cinta. Namun, segalanya itu tidak memaknakan apa-apa kerana aku lebih cinta pada Al-Khaliq dan atas nama cinta itulah, aku tidak berani mendekati kemungkaranNya.

Namun, dalam diam aku menyimpan perasaan seperti gadis lain. Tidak salahkan? Kerana Siti Fatimah jua pernah menyembunyikan perasaaannya terhadap Saidina Ali sebelum menikahinya...


“Fikri?”

“Hei..dah hampir dua tahun kan kita tak berjumpa sejak di kampus dulu. Safiah bagaimana sekarang?” Merona merah wajahku ketika tanpa sengaja melanggar seorang pemuda di MPH Bookstore tadi. Rupanya, teman sekampus ku dulu. Tidak ku sangka bertemunya tanpa dirancang!


“Nabi bersabda,:Sesungguhnya, tiada yang menghalalkan percintaan melainkan perkahwinan.”


Pandangan permai Tasik Putrajaya seakan mendamaikan biarpun tiada kata yang lahir dari sanubari ini. Aku menoleh seketika padanya dan dia membalas mesra senyuman ku. Telah 5 tahun detik berlalu melewati kehidupan dengan seribu satu cerita. Namun kebahagiaan semalam tidak pernah pudar sesaat pun di ingatan.


BANG!! Aduh.. Aku merasa pandangan berpinar-pinar seolah menghentam sesuatu permukaan keras. Kepalaku berdenyut-denyut namun dengan kudrat yang ada aku gagahi jua untuk bangun. Aku sedaya-upaya mengingati tempat ini tapi aku hairan. Di mana kah? Tabir hitam di sekeliling mengaburi pandangan mata dan aku makin keliru. Dalam kekalutan, aku terlihat biasan sinar putih yang terbit dari satu sudut. Aku mengamati kerdipan cahaya itu seakan makin menghampiri…


“Sesiapa yang bermimpi melihatku dalam tidurnya maka sesungguhnya dia benar-benar melihatku kerana syaitan tidak sanggup mengubah bentuknya seperti bentukku”


Kelihatan seorang lelaki menuju kearah ku. Aku tidak pasti siapa gerangannya. Raut wajahnya ku amati biarpun tidak jelas dipandangan mata. Dari panahan matanya, dapat aku agak dia mengukir senyuman yang penuh ketenangan. Sukar diungkapkan dengan kata-kata. Tetapi tidak lama, seimbas detik itu, bayangannya berlalu pergi tanpa sempat aku berbicara.


“Maaf Datin, keadaaan anak Datin agak kritikal akibat kemalangan itu. Puan Safiah kehilangan banyak darah.”


Sayu-sayup suara doktor mencecah pendengaran ku. Aku membuka mata perlahan-lahan. Menatapi satu persatu wajah yang menemani disisi. Fikri dan ibu memandang antara satu sama lain dan saling tersenyum. Sesaat itu renungan mereka bersatu kearah ku pula. Aku membalasnya mesra. Fikri mengenggam erat jemari ku yang masih tersarung cincin pernikahan lalu. Biarpun telah 5 tahun berlalu, masih ku rasakan cintanya sentiasa mekar. Aku harapkan kasih dan kenangan itu terus subur seandainya diri ini tidak lagi bersamanya. Sepertimana cinta Rasulullah pada Siti Khadijah…


“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku bererti menyintaiku. Dan barangsiapa yang menyintaiku akan bersamaku pada hari kiamat di Syurga..”


“Fikri…”


Tersayat hatiku melihat air matanya yang tumpah membasahi pipi. Dalam kepayahan, dia tabah meredhai takdir Illahi. Aku kagum memiliki insan sebaik Fikri. Moga suatu masa, akan ada penggantiku untuk mengisi kekosongan dihatinya kelak. Aku memejamkan mata. Tidak berdaya menatap wajahnya dengan kolam mataku yang berkaca-kaca. Sedetik itu, aku kembali mengingati mimpi sebentar tadi. Kerinduan aku kembali hadir. Rindu pada Al-Khaliq dan rindu pada kekasihNYA..Tapi benarkah dia, Rasulullah menunggu ku di sana?


“Ya Allah, timpakan segala saja sakit maut ini padaku. Jangan pada umatku..”


“Jangan pada umatku…”


“Umatku…Umatku…Umatku...”


Matahari senja membenamkan sinar di ufuk barat. Aku menghayun langkah demi langkah. Pulang ke jalan hakiki…‘Allahumma Solli Ala Muhammad Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim.’

No comments: